Muzikal Ibu Zain : Emas Tempawan

Ibu Zain PC @ The Star Online TV

Muzikal Ibu Zain (MaTIC) @ Chopie's www.lemon9.com

March 26, 2008

Pengarah & Penulis Skrip Teater Muzikal Ibu Zain

ROSMINAH MOHD. TAHIR – PENGARAH & PENULIS SKRIP

ANAK kelahiran Muar, Johor ini tamat pengajian sarjana di USM dalam bidang teater, antara karya pentasnya ialah Dadah (1983), Pahlawan (1987), Nostalgia (1990), Merdeka (1990), Sang Singa (1990) dan Api (1991). Antara drama radio (1970-1992) adalah Adik Ku Sayang, Nenek, Penyambung Kasih, Kabut pun Berlalu, Laungan Keramat, Terima kasih Cikgu, Nasi Lemak Sebungkus, Di Alun Gelombang, Dusun Tok Ayah dan Saat Terakhir. Diikuti drama pentas Satu (1993), Gadis Melayu (1994), Seru dan Syukur (1998), Tanjong Joget (1999) dan Masuri (2000). Manakala, skrip monodrama yang dihasilkan ialah Alim (2003) dan Kopi Pangku (2005).

Hubungan dengan Datin Seri Endon Mahmood amat akrab. Puisi ciptaan beliau Kata Kasih Mahkota Hati merupakan puisi yang membawa Datin Endon Mahmood mendeklamasikaan puisi kepada khalayak. Hakikat Damai menjadi puisi terakhir yang sempat disampaikan oleh Datin Seri Endon sebelum beliau kembali ke Ramatullah.

Teater Anugerah (1996) adaptasi novel karya Zaharah Nawawi menjadi titik tolak beliau menulis drama pentas secara komersial. Menyusul, teater Lantai T.Pinkie (1997) karya Datuk A.Samad Said sebagai teater pertama bertiket paling mahal ketika itu. Kemudian naskhah itu dijadikan Muzikal Lantai T.Pinkie yang dipentaskan di Istana Budaya (2006) dan Perak (2006).

Beliau juga mengarah dan menulis skrip teater Malam Haram karya Ku Seman Ku Husein dan bangsawan Tengku Anum karya asal Morad Ibrahim. Manakala, teater Puteri Hang Lipo arahan beliau di Istana Budaya menjadi box-office. Lain-lain teater arahannya ialah Cucu (1995), A Modern Women (1996 di bawa ke Festival Teater Eksperimental di Cairo, Cik Ros (1999), Raden Galoh (2000), Medea (2000), Monodrama Alim (2003), Kopi Pangku (2005) dan Kesuma dan Rebab Berbisik (2007). Teater arahan terbaru beliau adalah Nyonya karya Wisran Hadi yang dipentaskan di Istana Budaya Februari 2008. Itu merupakan kali kedua arahan beliau yang mana sebelum ini ia telah dipentaskan di Alor Star, Kedah pada 2007.

Beliau kini merupakan Ketua Jabatan Teater Akademi Seni Budaya dan Warisan (ASWARA) dan Naib Presiden PPWM.

March 17, 2008

Kisah Ibu..... Zaman Persekolahan


Ibu Zain lahir pada 22 Januari tahun l903 di Kg. Nyalas Jasin Melaka . Anak keenam daripada lapan beradik. Semasa menanti kelahirannya Munsyi Sulaiman guru Bahasa Melayu dari Riau di Maktab Melayu Melaka l900-1915 berharapkan anak lelaki dan menyediakan nama Zainal Abidin dengan menyimpan cita-cita anaknya itu akan menjadi pejuang bangsa, berbakti menghalau penjajah dari tanah airnya. Namun, apabila dikurniakan anak perempuan beliau dan isterinya Siti Shahariah Haji Khamis keturunan Negeri Sembilan tetap bersyukur dan diberikan nama Zainun dan sentiasa didodoi dengan lagu-lagu perjuangan.

Ibu Zain seorang yang lasak dan suka bermain dan bergaul dengan budak laki-laki hingga dipanggil Nal singkatan kepada Zainal Abidin. Nama lain Seribanun dan Zainatun Nadzarah tetapi yang kekal mesra Ibu Zain. 1908 Ibu Zain bersekolah tadika dan mendapat pendidikan rendah di sekolah Methodist Girls School Kg. Belanda, Tengkera Melaka.

Tujuan ayahnya adalah untuk menimba sebanyak ilmu dan pengetahuan daripada tuan-tuan penjajah yang boleh digunakan kemudiannya untuk menghalau mereka. Hal ini bagaikan sumpah yang wajib dilaksanakan oleh Ibu Zain. Gurunya Paderi Shellabear pernah mempengaruhi ibu Zain masuk kristian. Tetapi ayahnya lebih cekap mendidik apabila setiap malam ibu zain diajar membaca al-Quran, Agama dan Bahasa Arab. Beliau meminta ibu zain sendiri membezakan antara Kristian dengan Islam. Ibu Zain memilih Islam kerana ia lebih utuh, jujur dan benar. Ibu Zain tidak dapat meneruskan pengajiannya ke peringkat lebih tinggi kerana masyarakat ketika itu mempunyai tanggapan takut anak perempuan takut akan menconteng arang kemuka orang tua. Apa lagi kalau bersekolah Inggeris tentu akan menjadi kristian.

Kisah Ibu....... Zaman Remaja - Dewasa - Kerjaya

Ilmu yang diperolehi tidak disia-siakan begitu sahaja. 1916 Berpindah ke Kampung Pasuh Jaya Waras sempadan Pahang Negeri Sembilan memulakan era perguruan buat ibu Zain. Anak-anak kampong diajarnya menulis dan membaca mengikut peraturan sekolah yang dibukanya sendiri dan menjadi sekolah taman didikan kanak-kanak pertama pernah diusahakan oleh orang Melayu. Sekejap saja dia mengajar disitu kerana 1921 berpindah ke Muar mengikut bapanya yang diperlukan berkhidmat dengan Pesuruhjaya Kerajaan Johor Daerah Muar – Datuk Abdullah Jaafar. Enam bulan kemudian, kegigihannya menjadi pendidik menyebabkan Ibu Zain dilantik menjadi guru percubaan mengajar di Sekolah Perempuan Bandar Maharani. Enam bulan saja telah dilantik menjadi guru besar dan kemudian menjadi guru pelawat sekolah-sekolah perempuan daerah Muar dan Batu Pahat 1925. Sebagai Penyelia Sekolah-sekolah Perempuan Negeri Johor, Ibu Zain menubuhkan sekolah-sekolah perempuan lain di daerah Kluang, Segamat, Mersing, Kota Tinggi dan Pontian. Ibu Zain juga menubuhkan sekolah agama petang di Johor dan l929 menubuhkan Persekutuan Guru-guru Perempuan Melayu Johor.

1930 kesedaran untuk memberi pendidikan menyeluruh kepada kaum wanita, Ibu Zain telah menerbitkan Majalah Bulan Melayu dan menjadi lidah rasmi ibu zain untuk memberi idea dan cita-cita untuk memimpin wanita dalam pendidikan dan moral. Majalah itu juga merupakan satu wadah menentang kewujudan Hikayat Faridah Hanum atau Asyik Mashok karangan Syed Sheikh Al Hadi yang dianggap lucah dan tidak bermoral. Perdebatan panjang berlaku hingga akhirnya Syed Sheikh Al Hadi meminta maaf daripada ibu zain.

1934 mendirikan rumah tangga dengan Haji Amin Taib bekas guru agama. Mereka berkahwin selepas Ibu Zain menunaikan fardu haji. Mereka memperolehi tiga anak dua perempuan Khalida Adiba dan Khalida Fadzilah dan seorang lelaki Sulaiman Shakib.

Kisah Ibu...... Zaman Perang


1941 Jepun menawan tanah melayu tidak mengubah kedudukan Ibu Zain kerana beliau tetap diterima sebagai penyelia dan guru. Beliau belajar bahasa Jepun dengan tekad pengetahuan yang diperolehi boleh dijadikan senjata menghalau Jepun. Beliau juga tetap mempersoalkan penjajahan Jepun melalui rencana yang dimuatkan dalam Warta dan Melayu Raya. Kritikannya halus dengan kesedaran untuk memajukan bangsa Melayu. Ibu Zain mendesak supaya matapelajaran bahasa dan agama Islam diajar disekolah Jepun. Kesengsaraan wanita diseksa dan diperkosa dan menjadi perempuan simpanan semasa Jepun menanamkan nazar di hati ibu Zain untuk menubuhkan sekolah khas perempuan dinamakan Sekolah Merdeka bagi memulihkan mereka dari aspek moral dan ahlak. Beliau membuka kelas agama dan bahasa melayu dirumahnya. Kesedaran itu Ibu Zain yang dilantik menjadi pendakwah Jabatan Agama dapat melawat seluruh negeri Johor dan setiap kampung yang dilawati akan beliau tubuhkan “Ibu Sepakat” persatuan surirumahtangga untuk memberi panduan kehidupan berkeluarga dan memulihkan wanita yang rosak ahlak semasa Jepun.


1945 suami ibu zain jatuh sakit. Kesulitan hidup masa Jepun sukar untuk mengubati penyakit suaminya yang juga terpaksa menampung kehidupan isteri pertama. Gajinya kecil dan terpaksa bercucuk tanam untuk menampung hidup. Kematian suaminya menjadikan ibu zain lebih tabah.

Kisah Ibu ...... Pengembaraan Politik


1946 Malayan Union diperkenalkan oleh British telah membabitkan penglibatan Ibu Zain dalam politik dengan serius. Datuk Onn telah menulis surat kepadanya untuk terlibat dengan pergerakan melayu semenanjung (PMS) di Johor Bahru. Apabila Kaum Ibu PMS ditubuhkan Ketuanya ialah Azizah Jaafar adik Dato Onn dan Ibu Zain menjadi pegawai penerangan. PMS kemudiannya menyertai UMNO. Ibu Zain bekerja keras untuk membantu UMNO menumbangkan Malayan UNION. Datin Halimah Husein isteri Dato Onn telah mengadakan pasar-pasar sehari untuk memungut derma tabung kewangan PMS dan UMNO. Begitu juga Ibu Zain membantu meyumbang tenaga untuk mencari dana membiayai kegiatan politik dan kebajikan. Keakraban beliau dengan masyarakat memudahkannya untuk mendapat sokongan daripada orang ramai.


1947 Ibu Zain diberhentikan daripada tugas menjadi penyelia sekolah-sekolah perempuan dan guru pelawat kerana tiada kelayakan untuk jawatan tersebut. Perlantikannya hanyalah berdasarkan pengalaman. Ibu Zain menerimanya dengan baik. Beliau menerima anugerah Pingat Ismail Sultan daripada Sultan Johor pada 17 September l947.


1948 ketika Dato Onn menjadi Menteri Besar dan hasil kerjasama dengan PMS pimpinan Dato Onn, Ibu Zain dilantik menjadi anggota Majlis Mesyuarat Negeri Johor. Secara tidak langsung melibatkan diri dengan pentadbiran negeri Johor.


Pernah nyaris mati apabila keretapi yang ditumpanginya daripada Johor Bahru ke Tanjung Malim diserang hendap komunis ketika di Labis. Tujuan perjalanan adalah hendak membincangkan tunjuk perasaan pelajar-pelajar Maktab Perguruan Tanjung Malim. Ibu Zain tertembak di peha dan terlantar di hospital selama 44 hari. Ketika itu jugalah berlakunya rapat raksasa di Bukit Timbalan Johor 15 Julai l950 membantah perletakan jawatan Dato Onn sebagai Yang Di Pertua UMNO. Ungku Abdullah Omar yang menganjurkan perhimpunan meminta Ibu Zain berucap supaya Dato Onn menimbangkan keputusannya. Ibu Zain yang belum sembuh terkejut melihat orang ramai memakai lencana UMNO terbalik dan bendera dikibarkan juga terbalik. Sepanduk menyebut “Dato Onn Berhenti – UMNO mati”. Ibu Zain mempersoalkan adakah UMNO berjuang untuk menyanjung tokohnya. Apakah tokoh boleh menyebabkan putus asa dan lemah semangat. UMNO berjuang untuk menebus kembali kemerdekaan bukan kerana penganjur atau pemimpin tetapi kerana tanah air. Ibu Zain bertanya, “Jika Dato Onn dipanggil Allah ke hadratnya mahukah tuan puan mengikutnya? Mahukah tuan puan ditanam bersama-samanya di dalam tanah? Kerana rapat itu Dato Onn telah menangguhkah perletakan jawatannya buat seketika.


1950 ibu zain dilantik menjadi ketua wanita UMNO kebangsaan menggantikan Puteh Maria ketua yang pertama. Masa ini UMNO mengalami masalah perpaduan dan ibu Zain dianggap orang yang paling layak untuk memujuk wanita supaya tidak meninggalkan parti tersebut akibat Dato Onn meninggalkan parti itu. Beliau dapat memujuk dan menambah ahli dengan mengadakan kunjungan ke serata negeri memberi ceramah kepada kaum wanita.


Ketokohannya telah membawa beliau ke India diundang oleh Sarojini Naidu Pengerusi Hal Ehwal Dunia menghadiri Persidangan Perhubungan Asia di New Delhi (Inter Asia Conference) 1952. Jemputan ini atas kewibawaan peribadi yang akan membincangkan mengenai keadaan negara-negara yang belum mencapai kemerdekaan. Bersama nya ialah Dr. Burhanuddin al Helmi. Kehadiran mereka berdua ke India kemudiannya difitnah sebagai membuat hubungan sulit. Menjernihkan suasana Ibu Zain menghadap Sultan Ibrahim Johor. Punca fitnah adalah kerana tanah tujuh ekar di Bukit Sri Lalang dan Istana Mastika Embun kepunyaan Tengku Ampuan Mariam diwakafkan untuk pengajian tinggi khusus anak-anak perempuan yang diamanahkan kepada Ibu Zain ingin digunakan untuk bangunan ibu pejabat parti UMNO.


Ibu Zain juga diserang penyakit aneh yang menyebabkan doktor menasihatkan beliau berehat di luar Negara. Semasa ketiadaan beliau Raja Perempuan Perlis Tuanku Budriah menggantikan tempatnya sebagai ketua Kaum Ibu UMNO selama tiga bulan. Ibu Zain telah ke Colombo bersama 14 orang lain kerana menghadiri Jambori disana. 1952 memainkan peranan penting mewujudkan Kongres bahasa. 1954 beliau ke luar negeri lagi menjadi wakil tunggal wanita ke Persidangan Bahasa Melayu-Indonesia di Medan dan menjadi anggota Lembaga Tetap Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Malaya ketiga pada l956 hingga tertubuhkan Dewan Bahasa dan Pustaka pada l958.


Sekembalinya dari luar negeri jawatan ketua kaum Ibu Wanita UMNO telah terlepas ke tangan Khadijah Sidek seorang pelarian Indonesia yang petah berpidato. Sebelum ini Khadijah Sidek adalah setiausaha Wanita UMNO Johor Bahru saja. Ibu Zain hanya dilantik menjadi jawatankuasa wanita Bahagian Johor Bahru. Hanya l955 Ibu Zain dilantik sebagai ketua wanita UMNO Bahagian Selatan. Beliau telah menolak untuk menjadi Ketua Kaum Ibu UMNO Malaya kerana sibuk hendak menubuhkan Kolej Tengku Ampuan Mariam.
Ibu Zain memperolehi anugerah Pingat Johan Mangku Negara pada 30 Ogos l958 daripada Sultan Johor.


1959 rapat umum Bukit Timbalan menarik perhatian kaum ibu seluruh Malaya terhadap kepimpinan Ibu Zain. Ibu zain dipilih menjadi salah seorang wakil kaum Ibu UMNO Negeri Johor ke Persidangan Agung UMNO Malaya di Istana Iskandariah di Kuala Kangsar. Dalam perhimpunan agung inilah Ibu Zain meminta dia dipanggil Ibu sahaja. Ini akan memudahkan lagi kerja-kerjanya untuk bergiat terus dalam lapangan pendidikan dan politik.


Pada tahun yang sama kemuncak kegiatannya dalam politik terserlah apabila menjadi calon wakil rakyat wanita tunggal Johor dan bertanding di parlimen Pontian. Beliau menang dan menjadi wakil rakyat hingga tahun l964. Kerana pengalaman dalam bidang pendidikan beliau dilantik menjadi Ahli jawatankuasa Parlimen Bahagian Pelajaran. Satu isu besar yang diperdebatkan di Parlimen ialah mengenai isu rupa bangsa Melayu. Dato Onn daripada Parti Negara membangkitkan nama bangsa persekutuan sebagai Melayu. Bagi Ibu Zain kedudukan orang melayu adalah mengikut peruntukan keistimewaan melayu fasal 153 Perlembagaan Persekutuan l957 dan akan terbuka kepada bangsa lain. Hal ini mengganggu kedudukan orang Melayu pada masa hadapan. Pendapat beliau diterima oleh ahli-ahli kerajaan Perikatan sebagai satu sebab menentang Dato Onn. Hasilnya anggota pembangkang Melayu terdiri dari PAS dan Parti Negara yang berjumlah 13 orang sahaja mudah dikalahkan oleh Perikatan. Selepas dua penggal menjadi wakil rakyat Ibu Zain bersara daripada politik. Namun beliau tetap bergiat dengan cergas di dalam UMNO negeri Johor. Beliau dijemput menjadi penasihat dan penaung cawangan-cawangan dan Jawatankuasa Wanita UMNO Johor.


Pada tahun l964 Ibu zain mencadangkan supaya tentera wanita ditubuhkan. Pada tahun yang sama beliau telah mengorak langkah dengan mengeruai seramai 150 orang wanita dan menubuhkan Barisan Tentera Sukarelawati di Johor dengan kerjasama pergerakan wanita UMNO Negeri Johor di bawah pimpinan Datin Paduka Fatimah Abdul Majid. Beliau berusaha mendidik anak-anak perempuan Islam Melayu berasaskan cogan kata beliau “Agama dididik moden dibela. Dunia dikelek akhirat dijunjung.


Walaupun sibuk berpolitik, minat beliau dalam pendidikan watina tidak pernah luput. Beliau sangat berhasrat untuk menubuhkan sekolah untuk kanak-kanak perempuan dengan sukatan pelajaran yang dipercayai dapat melahirkan wanita yang sempurna. Bagi Ibu Zain pendidikan akademik dan agama mestilah diajarkan kepada anak perempuan dengan seimbang. Bukan sahaja menjadi wanita muslimah dan pekerja yang baik tetapi paling penting ibu yang sempurna yang dapat mendidik anak-anak menjadi warga Negara yang berguna. Untuk itu tahun l958 beliau meneruskan cita-cita yang terbengkalai sejak 1946 dengan membaiki istana lama kepunyaan Tengku Ampuan Mariam adinda Sultan JOHOR dengan bantuan Jabatan Kebajikan masyarakat pada 10 Mac l963 barulah Kolej anak emas Puteri Ampuan Mariam ditubuhkan. Kolej ini menampung anak-anak perempuan yang terkandas di dalam Sijil Rendah Pelajaran dan Sijil Pelajaran Malaysia untuk menyediakan mereka dengan Sijil Tinggi Persekolahan bagi membolehkan mereka masuk ke Universiti. Kolej yang bersifat persendirian ini dikendalikan oleh Ibu Zain sebelum di ambil alih oleh Kementerian Pendidikan. Ini lah tugu kejayaan peribadinya.

Kisah Ibu ....... Anugerah

Sebagai orang yang berjasa dalam bidang politik beliau diberi penghormatan mencipta senikata lagu “Bendera Berkibar” dan menaikkan bendera UMNO di Stadium Merdeka sempena ulang tahun UMNO ke 21. Malah merupakan tokoh guru l975 dan memperolehi pingat Tun Fatimah anugerah Majlis Kebangsaan Pertubuhan-pertubuhan wanita l974. Lady of Burma daripada kerajaan Burma dan memahkotakan segara anugerah ini adalah penganugerahan Ijazah Kehormat Sarjana Sastera Universiti Malaya. 1979 beliau dikurniakan darjah Panglima Setia Mahkota (P.S.M) oleh Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong membawa gelaran Tan Sri. 1980 anugerah Suluh Budiman kerana sumbangannya dalam bidang pendidikan.

Ibu Zain meninggal pada 2 April l989 kerana barah dalam perut.

Interview Avaa & Murai

googlefc89ff6f02544294.html