Muzikal Ibu Zain : Emas Tempawan

Ibu Zain PC @ The Star Online TV

Muzikal Ibu Zain (MaTIC) @ Chopie's www.lemon9.com

August 4, 2008

Ucapan Penaung: Datin Sri Siti Nooriah Ana Razak



“PELANCARAN TEATER MUZIKAL IBU ZAIN – SEMPENA ULANGTAHUN KEMERDEKAAN KE-51 & MENGENANG PERJUANGAN UMNO”
LAMBANG SARI, ISTANA BUDAYA
KUALA LUMPUR
23 JULAI 2008 (RABU) @ 3.30 PTG



KATA-KATA ALUAN

BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM

Assalamualaikum Warahamatullahi Wabarakuh, Salam Sejahtera dan Selamat Petang,

YBhg Tuan Haji Mohamed Juhari Shaarani, Ketua Pengarah Istana Budaya,

Yang Berusaha Cik Siti Rohayah Attan, Presiden Persatuan Penulis Wanita Malaysia (PPWM),

Yang Berusaha Cik Rosimah Mohd Tahir, Pengarah Teater Muzikal Ibu Zain,

Pegawai-pegawai Kanan Istana Budaya,

Para Pelakon dan Tenaga Produksi Muzikal Ibu Zain,

Rakan-rakan media yang sudi untuk bersama-sama kita pada petang ini,

YB-YB, Tan Sri, Puan Sri, Datuk-datuk, Datin-Datin, Tuan-tuan dan Puan-puan,

1. Saya bersyukur ke hadrat Allah SWT yang telah dengan limpah izin dan innayahnya memberi kita peluang untuk sama-sama bertemu pada petang yang penuh barakah dan mulia ini di dalam satu majlis Pelancaran Teater Muzikal Ibu Zain sempena Ulangtahun Kemerdekaan ke-51 dan Mengenang Perjuangan UMNO.

2. Terlebih dahulu saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Persatuan Penulis Wanita Malaysia (PPWM) dan juga Istana Budaya di atas inisiatif dan inovasi untuk menjayakan program murni ini.

Ini adalah merupakan majlis kedua yang melibatkan saya setelah majlis bulan Januari yang lalu untuk pementasan teater Nyonya.

PPWM sudah sebati sebagai sebuah badan yang bukan sahaja menjadi gagasan kepada pembangunan keupayaan wanita selaku penggerak arena penulisan negara, tetapi turut juga bergiat di dalam menggerak minda dan emosi rakyat menerusi pengeketengahan sejarah; terutama yang melibatkan kaum wanita.

Justeru itu, ia membuktikan bahawa peranan gagasan para penulis wanita dan juga badan bukan kerajaan (NGO) tidaklah hanya terhad kepada mengulas atau melapor berkenaan isu sosial, kemasyarakatan, isu-isu semasa serta pengolahan pentadbiran kerajaan dan negara semata-mata; tetapi turut juga memberi keutamaan dan perhatian yang sama berat terhadap kesinambungan semangat patriotisme dan ketrampilan kepimpinan dan perjuangan kemerdekaan untuk dititipkan kepada generasi rakyat Malaysia di abad ke-21 ini.

3. Syabas dan tahniah saya ucapkan, kita sama-sama berbangga dengan kejayaan ini. Di waktu yang sama, saya juga yakin bahawa PPWM akan dapat mengketengahkan lagi pelbagai lakaran sejarah kejayaan dan pengorbanan kaum wanita di negara kita, baik sebelum mahupun selepas merdeka.

Di waktu yang sama menerusi pementasan seumpama ini, kita dapat menyusuri sejarah dan mengerti akan suasana semasa ketika itu yang telah membangkitkan semangat juang dan patriotisme untuk menyumbang kepada proses memerdekakan negara di kalangan kaum wanita di Malaysia.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

4. Sejarah perjuangan kemerdekaan Malaysia kaya dengan pengorbanan dan ketrampilan kaum wanita yangn turut sama berjuang ke arah meningkatkan kesedaran rakyat untuk melaungkan kemerdekaan negara dan kedaulatan Malaysia yang telah hampir 51 tahun merdekanya ini.

Tokoh-tokoh lelaki seperti Ahmad Boestamam, Dato’ Onn Jaafar, Tunku Abdul Rahman, Pak Sako dan ramai lagi sering diceritakan, sering diketengahkan dan sudah diketahui pengorbanan mereka. Akan tetapi ini tidaklah bermakna peranan kaum wanita terpencil daripada proses ini. Terdapat ramai tokoh wanita yang turut sama mengambil bahagian aktif di dalam menyemarakkan api patriotisme dan proses memerdekakan negara.

5. Dan kali ini, teater Ibu Zain akan melakar sejarahnya yang tersendiri di dalam scenario perkembangan seni tanahair – bilamana buat julung-julung kalinya seorang tokoh wanita diangkat di dalam pementasan teater.
Tan Sri Zainun Munshi Sulaiman atau lebih terkenal dengan panggilan Ibu Zain menjadi pilihan Istana Budaya dan PPWM sebagai pejuang nasionalis Malaysia pertama yang akan diketengahkan menerusi pesembahan teater muzikal ini.

Kehidupan, kerjaya, kejayaan, jetih perrih dan segalanya tentang tokoh persuratan, pendidikan dan nasionalis wanita Melayu ini akan diangkat menerusi teater di sebuah awangan yang tersohor – iaitu Panggung Sari Istana Budaya.

6. Ibu Zain bukan sembarangan pejuang nasionalis. Sebagai seorang yang turut terlibat secara langsung di dalam perjuangan memerdekakan negara, Ibu Zain telah banyak menyumbang kepada keagungan islam, kedaulatan bangsa dan negara. Beliau turut sama menjadi salah seorang daripada pengasas UMNO yang tanpanya, maka kehidupan kita pada hari ini tidak akan seceria dan seindah sekarang.

Beliau, seperti Tan Sri Aishah Ghani dan pejuang nasionalis wanita lain, telah menggerakkan arena persuratan, kewartawanan dan golongan pendidik wanita untuk turut sama turun padang, mendekati rakyat dan mengketengahkan mesej nasionalisme dan patriotisme – bahawasanya negara ini adalah hakmilik rakyatnya dan tidak boleh lagi dibelenggu penjajah.

7. Saya percaya usaha yang diceburi PPWM dan Istana Budaya ini amat tepat dan kena pada waktunya. Di waktu kita ingin mempertingkatkan dan menjulang semangat patriotisme dan nasionalisme; tibalah masanya untuk rakyat turut mengenali para srikandi yang telah berjuang bersama kaum Adam di dalam mendekapi kemerdekaan yang sama-sama perlu dihargai dan diisi.

Kerana ini jugalah saya melihat pementasan muzikal Ibu Zain sebagai satu radas unik untuk memukau penonton dan menggamit kesedaran mereka untuk menjadi warganegara yang lebih bertanggungjawab dan sedar akan peri pentingnya patriotisme dan nasionalisme sebagai landasan untuk mengekalkan kemerdekaan negara kita.

8. Menerusi teater ini, kita bukan sahaja akan memperkembangkan lagi seni budaya teater di negara kita, malah di waktu yang sama kita akan turut menyaksikan lembaran sejarah negara diulit dan dipersembahkan di persada unik dan menambat hati.

Sejarah bukan sahaja perlu kita layari dan hayati, kita kenalah belajar daripadanya dan sedar akan kepentingannya kepada kehidupan hari ini dan imbauan perjalanan di masa hadapan.

Ketokohan pemimpin zaman dahulu telah menerangi denai perjalanan kita hari ini; dan begitulah kehendaknya kepada kita, supaya ketrampilan dan pengorbanan kita pada hari ini akan membuka jalan selebar-lebarnya pula kepada generasi masa akan datang.

Kita perlu menilai sejauh manakah sumbangan kita kepada negara kita pada hari ini, cukupkah ia, memadaikah ia? Saya percaya kita boleh melakukan yang lebih baik, kita berupaya melonjakkan Malaysia ke persada yang lebih baik, sebagai satu penghargaan kepada pengorbanan generasi lalu, dan sebagai satu tinggalan legasi kita kepada generasi akan datang yang akan menggantikan tempat kita.

Kitalah yang akan menentukan nasib cucu-ciciti kita, sepertimana yang disedari oleh pejuang-pejuang terdahulu seperti Ibu Zain.

Sejarah dahulu adalah untuk kita mengenang dan mempelajarinya pada hari ini. Tetapi perjalanan kita hari ini adalah menempa sejarah yang tersendiri dan akan menjadi pula bahan rujukan, kajian dan Insyallah dengan kematangan fikiran dan perasaan cintakan negara; satu kebanggaan bagi generasi masa hadapan.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

9. Saya mengambil kesempatan ini untuk sekali lagi merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada PPWM dan Istana Budaya di atas jemputan kepada saya untuk turut sama meraikan kejayaan gemilang ini.

Kepada PPWM dan warga penerbitan teater Ibu Zain ini, saya ucapkan selamat berjaya dan semoga persembahan teater muzikal ini akan berjaya mencapai matlamatnya dan menjadi satu lagi mercu kejayaan persembahan teater di negara kita – terutama di dalam kancah sejarah Malaysia yang gilang gemilang ini.
Dengan lafaz BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM, saya dengan sukacitanya merasmikan PELANCARAN TEATER MUZIKAL IBU ZAIN – SEMPENA ULANGTAHUN KEMERDEKAAN KE-51 DAN MENGENANG PERJUANGAN UMNO ini dengan selamatnya.

Sekian terima kasih.

DATIN SRI SITI NOORIAH ANA RAZAK

No comments:

Interview Avaa & Murai

googlefc89ff6f02544294.html