Muzikal Ibu Zain : Emas Tempawan

Ibu Zain PC @ The Star Online TV

Muzikal Ibu Zain (MaTIC) @ Chopie's www.lemon9.com

February 2, 2009

Ibu Zain, MaTiC di Harian Metro




24/2/09: Jefri ganti Zaefrul
http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Tuesday/Rap/20090224084151/Article/index_html
Oleh Ramlah Zainal roses@hmetro.com.my
Rap
WATAK Datuk Onn Jaafar yang pernah dilakonkan Zaefrul Nordin dalam pementasan Muzikal Ibu Zain musim pertama di Istana Budaya pada Ogos lalu, bakal dilakonkan pelakon baru, Jefri Haron yang juga pegawai di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA).
Pemilihan Jefri untuk musim kedua pementasan ini dikatakan kerana dia pelakon baru yang menunjukkan komitmen dan imej cukup membanggakan seperti dicari produksi berkenaan, manakala imej Zaefrul sedikit tercalar kerana gambar mesranya bersama Azizah Mahzan kini tersebar di Internet.Penerbit muzikal ini, Siti Rohayah Attan berkata, secara peribadi pihaknya mahukan watak dalam filem sejarah seperti Datuk Onn Jaafar dan Ibu Zain dilakonkan mereka yang dihormati dan mempunyai keperibadian tinggi dan diterima penonton. “Buat masa ini, barisan pelakon teater muzikal Ibu Zain memenuhi ciri-ciri. Contohnya, pelakon Liza Othman cukup dihormati dan dapat menangani watak Ibu Zain yang cukup dominan.“Pada mulanya, saya mahu mengekalkan barisan pelakon Muzikal Ibu Zain musim pertama untuk pementasan musim kedua ini. Malah Zaefrul bersetuju untuk meneruskan musim kedua dan hadir pada sidang media pada 4 Februari lalu. “Tapi kami belum menawarkan tawaran itu secara bertulis dan sebaliknya sekadar tawaran mulut saja. Kami juga berhak untuk tidak mengambilnya berlakon dalam muzikal ini dan dia juga berhak untuk menarik diri kerana dia belum menandatangani perjanjian,” katanya.Bagaimanapun, Siti Rohayah menegaskan ketiadaan Zaefrul tiada kena mengena dengan isu melanda dirinya ketika ini kerana dia sudah tiada bersama produksi sebelum cerita itu tersebar.“Langkah produksi tidak mengekalkan Zaefrul dalam musim kedua ini memang tepat kerana pelakon popular siri Spa Q itu dikaitkan dengan isu moral dan gambar panas bersama pelakon Azizah Mahzan.“Ada yang berpendapat, jika Zaefrul terus memegang watak sebagai pejuang kemerdekaan yang banyak berjasa kepada negara dan bangsa, sedikit sebanyak imej dan personaliti agung diselitkan dalam karya itu tercalar. “Mungkin Datuk Onn watak yang dilakonkan tetapi ia berdasarkan sejarah dan wajar digambarkan dalam imej dan personaliti tepat. Sedikit sebanyak, penonton akan melihat Datuk Onn dalam diri Zaefrul dan begitu juga sebaliknya.
“Yang penting, naskhah sebagus Muzikal Ibu Zain digarap pengarahnya, Rosminah Mohd Tahir ini sekurang-kurangnya masih terpelihara daripada dikaitkan skandal atau gosip kerana majoriti penontonnya cintakan sejarah dan semangat patriotik termasuk pelajar sekolah,” katanya.
Akuinya, Zaefrul dan Azizah bukan asing bagi produksi teater terbitannya kerana mereka pernah terbabit dalam produksi Muzikal Lantai T.Pinkie di IB pada 2006. Dalam teater itu, Azizah memegang watak Nyai Sunarti manakala Zaefrul sebagai Tuan Delarosa. Kedua-dua watak ini pasangan kekasih.Namun, apabila teater itu dipentaskan semula di Taman Budaya, Ipoh tahun sama, kedua-duanya tidak terbabit dan Khatijah Tan mengambil alih peranan sebagai Nyai Sunarti.
Sementara itu, Siti Rohayah berkata, selain Jefri, seorang lagi pelakon baru terbabit dalam pementasan ini ialah cucu Allahyarham Tan Sri P Ramlee iaitu Najua Nasir yang akan membawa watak Munah. “Najua menjalani latihan sejak dua minggu lalu dan menunjukkan bakat luar biasa. Dia mempunyai suara hebat untuk menyanyi serta mempunyai sifat humor yang diperlukan bagi watak Cikgu Munah iaitu rakan Ibu Zain ketika muda,” katanya.
Katanya, beberapa pelakon seperti Sahronizam Noor, Mazlan Tahir dan Catriona Ross tidak disenaraikan dalam barisan pelakon musim kedua ini kerana mereka mempunyai komitmen lain dan watak mereka digantikan pelakon lain yang mempunyai kekuatan tersendiri.Pelakon lain yang terbabit dalam pementasan kali ini ialah Liza Othman, Datuk Rahim Razali, Datuk Jalaluddin Hassan, Datin Natasha Hudson, Nurfatimah Abdul Wahab, Zuhairi Ibrahim, Hamzah Tahir, Sherry S Abdullah, Farah Adila Apandi, Nurul Elfira Loy, Rasdi Daud dan 40 pelakon pembantu.Teater anjuran Persatuan Penulis Wanita Malaysia (PPWM) dan Aman Malaysia dinaungi Datuk Mukhriz Mahathir, mendapat kerjasama CTRA Production, MaTiC, Aswara, Istana Budaya, De’Media dan Event Entertainment. Muzikal Ibu Zain musim kedua bakal dipentaskan bermula 13 hingga 22 Mac ini di Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC), Kuala Lumpur. Tiket bagi menyaksikan pementasan ini ialah RM20, RM30 dan RM50. Keterangan lanjut layari www.ibuzain.blogspot atau telefon 03-6186 6592, 012-2977220 dan 017-2004249

6/2/09: Aktivis teater sudah penat 'mengemis'
Oleh Elrafaei Sapiahmadelrafaei@hmetro.com.my
Rap
KEWUJUDAN Istana Budaya (IB) yang dibuka pada 1999 memberikan tarikan baru kepada masyarakat ketika itu. Ia bukan hanya kebanggaan masyarakat negara ini sebagai antara mercu tanda Kuala Lumpur tetapi menjadi pentas pementasan teater bertaraf antarabangsa yang secara tidak langsung menggalak aktivis teater untuk aktif menampilkan karya mereka.
Walaupun sebelum ini khalayak berpeluang menonton teater di lokasi lain seperti Panggung Bandaraya, Pusat Pelancongan Malaysia (MTC), Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) dan Pusat Seni Persembahan Kuala Lumpur (KLPac), pementasan di IB memberi penghayatan berbeza kepada penonton. Ini dibuktikan dengan kejayaan teater yang dipentaskan di situ seperti Puteri Gunung Ledang The Musical dan P Ramlee The Musical yang mendapat sambutan memberangsangkan daripada penonton. Aktivis teater berpengalaman, Rosminah Mohd Tahir mengakui senario teater sejak beberapa tahun lalu menyaksikan jumlah teater yang dipentaskan bertambah setiap tahun. Perkara ini didorong kewujudan banyak pentas teater yang membuka ruang kepada penggiat teater untuk berkarya.Katanya, sebelum ini aktivis teater perlu menunggu giliran kerana kekurangan lokasi untuk pementasan. Senario kini pula berbeza apabila beberapa teater mampu dipentaskan serentak pada satu masa walaupun berlainan lokasi pementasan."Selalunya, hujung minggu adalah masa terbaik untuk menarik penonton menyaksikan teater. Namun, ada juga kelompok penonton seperti mereka yang bekerja berasa selesa untuk menyaksikan teater selepas habis waktu bekerja iaitu pada hari biasa. "Malah, penonton secara berkumpulan yang hadir pada musim cuti sekolah turut memberi kesan pada sambutan teater kita."Jika dilihat pada kelompok penonton yang berbeza hadir ke pentas teater, ia juga merujuk pada aspek genre sesebuah teater yang menarik minat mereka pergi menonton. Ada penonton yang minat pada teater yang membawa tema semangat patriotik atau kanak-kanak. Bagaimanapun, apa yang ingin ditekankan adalah kualiti teater itu sendiri yang memberi kepuasan kepada penonton."Sebelum ini, ada yang beranggapan hanya teater yang disifatkan besar dan cemerlang dipentaskan di IB. Bagaimanapun, teater kecil yang tidak termasuk dalam kategori itu tetapi mengambil lokasi pementasan yang sama, mula menjadi persoalan."Memang setiap kali sebelum pementasan berlangsung, produser teater berasa takut jika teater mereka tidak mendapat sambutan. Lalu, mereka mengharapkan dana untuk membantu jualan tiket. Ada penonton kita pergi menyaksikan teater secara percuma dan ada yang berbayar.

"Berbeza dengan senario penonton tempatan, kebanyakan penonton di luar negara sanggup membayar untuk menyaksikan teater walaupun harga tiket mahal. Ini kerana, mereka menghargai nilai teater itu sendiri dan menyokong perkembangannya.


"Realitinya, kebanyakan teater kecil mendominasi persekitaran teater di negara kita tetapi teater besar sebenarnya 'membunuh' teater kecil yang tidak mempunyai dana. Peminat teater kita sukar untuk membeli tiket mahal untuk menyaksikan teater sendiri walaupun sepatutnya tiket teater dijual pada harga RM100 supaya produser dapat balik modal," katanya.Berbeza dengan kehadiran teater luar negara yang dipentaskan di sini, penonton tempatan sanggup pula berbelanja lebih untuk pergi menonton. Kata Rosminah, kita tidak seharusnya menyalahkan produksi luar negara yang diberi kesempatan ke negara ini kerana tamadun dan karya mereka berkembang awal. Secara positif, ia menaikkan semangat penggiat seni tanah air untuk menghasilkan karya sehebat mereka."Penerimaan masyarakat terhadap teater antarabangsa sama seperti apa yang berlaku pada filem dan muzik. Sebenarnya, kita mempunyai ramai aktivis teater yang mampu berkarya dengan baik tetapi faktor tuntutan hidup membuatkan segelintir daripada mereka mengubah haluan kepada pekerjaan lain. "Sebagai contoh, jika Aswara melahirkan 10 graduan seni teater, hanya empat orang yang sanggup meneruskan minat ke arah teater manakala yang lain mencari peluang dalam bidang seni lain. Hakikatnya, jika penggiat seni rajin membuat pelbagai kerja, dia boleh hidup dan berjaya."Dari aspek pembelajaran di universiti, pelbagai subjek diajar supaya graduan itu boleh mempelbagaikan kemahiran mereka untuk bekerja dalam bidang berbeza. Ini juga didorong faktor pulangan pendapatan pada teater membuatkan mereka sukar untuk terus berkarya. Ramai penggiat teater kita bekerja atas faktor minat."Teater kita masih dianggap baru walaupun sebenarnya sudah lama berkembang. Namun, saya percaya teater tempatan mampu maju pada masa akan datang. Program realiti seperti Akademi Fantasia turut membantu teater secara tidak langsung apabila kelas lakonan yang disediakan memberi pendedahan lakonan kepada peserta."Untuk teater terus bernafas, kita masih memerlukan dana seperti penaja untuk membantu dan ia mampu menggalakkan mereka menghasilkan teater baru. Kesedaran masyarakat secara menyeluruh untuk mendekati teater juga penting supaya sambutan berterusan," katanya.Produser teater, Siti Rohayah Attan pula berpandangan sokongan penaja penting untuk menampung kos penerbitan sesebuah teater. Mengambil contoh pementasan teater muzikal Ibu Zain yang di pentas di Istana Budaya pada Ogos tahun lalu, kos keseluruhan mencecah RM1 juta manakala Lantai T Pinkie yang dipentaskan pada 2006 membelanjakan RM1.2 juta."Setahu saya, belum ada produksi tempatan yang meraih keuntungan hanya hasil jualan tiket. Ia sebenarnya hanya menampung antara 20 hingga 30 peratus kos keseluruhan. Justeru, saya cadangkan kerajaan menerusi Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan mewujudkan satu skim atau dana khusus untuk aktivis teater seperti dana filem menerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas)."Saya percaya sudah tiba masanya untuk kerajaan memikirkan secara serius perkara ini kerana saya berasakan aktivis kita sudah penat 'mengemis' untuk mencari dana," katanya.Sementara itu, Siti Rohayah menyatakan pementasan teater muzikal Ibu Zain kembali menemui penonton pada 13 hingga 22 Mac ini bertempat di MTC. Menariknya, pementasan kali ini anjuran Persatuan Penulis Wanita Malaysia (PPWM) bersama Aman Malaysia. Katanya, pementasan ini diadakan semula atas sambutan hangat daripada penonton tahun lalu dan sebagai usaha mengenang kembali jasa serta perjuangan tokoh wanita iaitu Zainun Munshi Sulaiman atau Ibu Zain.Pementasan yang mengambil masa lebih dua jam ini bermula jam 8.30 malam masih mengekalkan plot penceritaan yang sama kerana ia berdasarkan fakta tetapi menampilkan kelainan pada barisan pelakon dan props pentas.Empat pelakon baru diperkenalkan iaitu Datuk Jalaluddin Hassan sebagai Pandak atau Ungku Umar menggantikan pelakon asal, Hishamuddin Ahmad Tajuddin, Datin Natasha Hudson (Miss Ruth, menggantikan Catriona Ross), Zuhairi Ibrahim (Yunus, menggantikan Shahrul Nizam) dan Hamzah Tahir (Syed Sheikh Al hadi, menggantikan Mazlan Tahir).Pertukaran watak juga berlaku membabitkan Nurul Elfira Loy sebagai Ibu Zain ketika remaja, Nurul Syariza Nor Azim melakonkan watak anak Ibu Zain, Adibah Amin, manakala Farah Batrisyia Ahmad Salman menjadi Ibu Zain ketika kanak-kanak. Pelakon asal yang masih kekal ialah Liza Othman sebagai Ibu Zain ketika tua, Datuk Rahim Razali (Munshi Sulaiman), Nur Fatimah Abdul Wahab (Ibu Zain dewasa), Tania Zalina Zainal Abidin (Cikgu Munah), Sherry Syed Abdullah (Cikgu Jumilah), Farah Adila Apandi (Cikgu Ramlah), Ava Vanja (Miss Shelleber) dan Mazin Ameen Siraj (Amin). Bagi watak Datuk Onn Jaafar pula masih dicari selepas Zaeful Nordin menarik diri.Bagi Natasha, peluang terbabit menerusi pementasan ini dianggap cabaran pada diri sendiri untuk merasai pengalaman kali pertama di pentas teater. Katanya, dia berbincang dengan suami sebelum bersetuju menerima tawaran berlakon teater ini."Teater ini adalah kemunculan semula saya untuk berlakon selepas berehat sejak beberapa bulan. Ini adalah perkara baru dalam diri saya untuk meluaskan pengalaman dalam bidang lakonan. Walaupun latihan belum bermula, saya berasakan pengalaman teater ini lebih mencabar kerana lakonan berlaku secara langsung depan penonton."Saya memang menyukai teater dan ada juga perasaan gementar dalam diri untuk menjayakan teater ini. Apapun, saya berusaha memberi yang terbaik untuk teater ini," katanya. Penyanyi, Nur Fatimah pula gembira apabila ditawarkan semula kerana melihat peluang ini sebagai kepercayaan daripada pihak produksi. Katanya, walaupun membawakan watak yang sama tetapi cabaran tetap ada. Berpeluang melakonkan watak Ibu Zain ketika dewasa, dia perlu membuat rujukan daripada pembacaan dan bahan sejarah mengenai pejuang wanita itu."Pada saya, semangat untuk berlakon buat kali kedua untuk teater ini bertambah. Sebenarnya sukar untuk saya membawa watak ini dengan berkesan kerana tidak boleh menjadi diri sendiri. Meskipun Ibu Zain sudah tiada tetapi dia adalah pejuang wanita yang cekal dan lantang bersuara."Sebelum ini saya pernah terbabit dalam lebih 10 teater dan kali terakhir menerusi Tun Perak pada 2000. Kini, apabila lapan tahun tidak berlakon teater, saya berazam mahu memberikan lakonan lebih baik," katanya



23/1/09: Ibu Zain Kembali di Pentas

Bukan kecil bangsa kita
Meneruskan perjuangan kemerdekaan kita
Kerana rupanya selain memerdekakan
Mengisi kemerdekaan itu jauh lebih sengsara.

DEMIKIAN antara bait puisi berjudul Perjuangan Yang Belum Selesai yang dibacakan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad ketika beliau menjadi perdana menteri pada 1996 di Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC), Jalan Ampang, Kuala Lumpur.Meneliti empat baris itu saja, betapa kuat semangat dan harapan untuk melihat negara ini kekal merdeka dan tidak diganggu gugat kuasa lain sebagaimana yang sedang melanda Palestin.
Di Semenanjung Gaza itu juga banyak jiwa yang tidak bersalah terkorban akibat serangan Israel.Justeru, sebagai negara yang mengecapi kemerdekaan lebih lima dekad, masyarakat seharusnya bersyukur dan beruntung dengan keamanan yang dinikmati.Malah, bagi mewujudkan kesedaran itu sudah pasti kita perlu menelusuri sejarah perjuangan yang ditinggalkan pejuang kemerdekaan terdahulu seperti Tan Sri Hajjah Zainun Mushi Sulaiman atau lebih dikenali sebagai Ibu Zain.Menyedari bahawa tokoh hebat sebegini tidak wajar hilang dalam lipatan sejarah, Persatuan Penulis Wanita Malaysia (PPWM), CTRA Production dan Istana Budaya mengambil inisiatif mengkaji sejarah hidupnya secara lebih mendalam. Hasil kajian itu diterjemahkan dalam pementasan teater Muzikal Ibu Zain yang dipentaskan di Istana Budaya, Ogos tahun lalu.Ternyata pementasan itu banyak membuka mata anggota masyarakat perihal kehebatan Ibu Zain.Banyak sejarah penting mengenai tokoh ini diperoleh melalui persembahan itu. Ia banyak membantu terutama generasi muda mengenai pentingnya mendekati sejarah negara.Atas sambutan dan permintaan yang menggalakkan pementasan sama kembali dipentaskan di MaTiC, Jalan Ampang, Kuala Lumpur daripada 13 hingga 22 Mac ini. Pementasan ini dianjurkan secara bersama dengan Aman Malaysia.
Penerbitnya, Siti Rohayah Attan berkata pementasan semula itu diadakan dengan harapan dapat menyemarakkan lagi semangat cintakan bangsa terutama di kalangan orang Melayu supaya semangat jati diri mereka terus kukuh.
“Ini kerana banyak insiden terkini yang memperlihatkan bahawa orang Melayu seakan-akan cuba dipermain dan diperkotak-katikkan.“Kita harus melihat Melayu dan perjuangan Melayu ini dari perspektif sejarah, aspek yang benar serta didokumentasikan bukan sekadar tuduhan dan fitnah tidak berasas.“Berdasarkan tindak balas daripada penonton, teater ini juga amat sesuai disaksikan oleh generasi muda hari ini supaya mereka mendapat gambaran yang jelas mengenai kesukaran menuntut kemerdekaan,” katanya.Pementasan selama lebih dua jam itu mengetengahkan kisah hidup Ibu Zain sejak lahir, zaman kanak-kanak, remaja, dewasa dan sehingga berjaya menuntut kemerdekaan.Digambarkan juga kegetiran hidup Ibu Zain membela anak yatim pada zaman Jepun di samping serangan peribadi berunsur fitnah di zaman Inggeris.Kemuncak kejayaan Ibu Zain selain merdeka ialah berjaya menubuhkan Kolej Puteri Tunku Ampuan Mariam di Johor Bharu iaitu sebuah sekolah yang menitikberatkan soal dunia dan akhirat.“Kebanyakan guru yang menonton teater ini berasa amat tersentuh kerana apa yang dipaparkan mengenai perjuangan kaum Guru amat bermakna. Begitu juga perjuangan Ibu Zain dalam bidang politik.“Dia adalah orang yang bertanggungjawab memujuk Datuk Onn supaya tidak meninggalkan Umno demi kepentingan orang Melayu yang terlalu inginkan kemerdekaan pada zaman itu,” kata Rohayah yang turut mendapat kerjasama Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara).Antara pelakon yang dijangka menjayakan persembahan itu ialah Liza Othman, Datuk Rahim Razali, Ava Vanja, Nur Fatimah Abd Wahab, Hisham Ahmad Tajuddin, Tania Zalina Zainal Abidin, Sherry Syed Abdullah, Tengku Iezahdiyaha Tengku Alaudin, Farah Adila Apandi, Hamzah Tahir dan 60 pelakon yang lain.
Muzikal Ibu Zain yang memuatkan 20 lagu yang dicipta oleh Nik Nizam Jaffar mengisahkan perjuangan Zainun Munshi Sulaiman (Ibu Zain) dalam tiga bidang utama iaitu pendidikan, persuratan dan politik.

No comments:

Interview Avaa & Murai

googlefc89ff6f02544294.html